Jumaat, 29 April 2022

PENGENALAN

 



          Bidang sukan dilihat masih mampu menjadi landasan dalam memupuk perpaduan antara kaum. Biarpun berlainan kefahaman politik, berbeza agama dan bangsa namun ketika menyokong pasukan negara yang bertanding, tembok yang tebal itu boleh dihapuskan. Contohnya, apabila pasukan Harimau Malaya (Pasukan Bola Sepak Kebangsaan Malaysia) bertanding, semua sempadan terhapus dengan sendirinya kerana kita saling bersorak untuk menyokong agar kemenangan dapat berpihak kepada pasukan Harimau Malaya.

          Sama-sama bersorak, sama-sama menjerit dengan satu tujuan dan harapan agar Harimau Malaya dapat menang. Apabila kalah ataupun menang kita akan sentiasa bersama dalam berbahagi suka dan duka. Sukan juga dapat menyatukan rakyat kerana sukan adalah agen perpaduan. Aktiviti bersukan dapat mengeratkan hubungan silaturahim dan pada masa sama menerapkan disiplin dan integriti dalam kalangan peserta.

          Melalui sukan, kita juga akan menyelami erti perpaduan, menghormati antara kaum, menanam rasa cinta kepada negara,bersama berganding bahu untuk meningkatkan nama negara ke seluruh pelosok dunia dan sanggup membantu dalam mempertahankan kedaulatan negara.

          Perdana Menteri semasa membentangkan Rancangan Malaysia Ke-12 berkata, program perpaduan dan sukan secara inklusif serta komprehensif akan dipergiat bagi memperkukuh kesepaduan Keluarga Malaysia. Ini demi perpaduan rakyat yang berbilang kaum, agama dan bangsa selain integrasi nasional silang budaya serta merentasi ideologi politik, adalah tunjang kekuatan sebagai sebuah Keluarga Malaysia.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan